Tuesday, March 16, 2010


Cara Pemikiran Otak Kanan (EQ) dan Otak Kiri (IQ)

Keistimewaan mempelajari warna diri ini ialah secara tidak langsung kita akan memahami cara pemikiran. Terdapat dua bahagian atau hemisfera otak iaitu otak kanan dan otak kiri. Kedua-dua hemisfera otak kanan dan kiri ini amat berpengaruh terhadap gaya pemikiran setiap manusia. Terdapat individu-individu yang pemikirannya lebih dipengaruhi oleh otak kanan dan terdapat juga individu-individu yang pemikirannya lebih dipengaruhi oleh otak kiri.



Cara Pemikiran Otak Kanan (EQ)

EQ menjana pemikiran otak kanan yang menghasilkan pertimbangan yang wajar, secara mudah, bebas dan bersahaja ke arah penyelesaian masalah. Ia juga membantu meningkatkan tahap penyesuaian secara holistik, sintesis, konseptual dan proaktif. EQ meningkatkan daya fokus pembelajaran yang lebih lama selain gaya penulisan yang lebih kemas serta membina akhlak dan tingkah laku yang mulia.

Dengan EQ akan berupaya memperbaiki kelemahan spiritual, emosional, mental dan fizikal seperti hiperaktif, kemurungan, sifat pemarah, kedengkian, lupa keterlaluan, terlalu serius, lemah semangat, gangguan halusinasi, kegugupan, kecemburuan melampau, tidak bermaya, kelesuan, malas berfikir, kebimbangan dan sebagainya.

Cara Pemikiran Otak Kiri (IQ)

Pemikiran IQ yang menggunakan otak kiri sebenarnya lebih terhad kepada analisa logikal yang memerlukan langkah demi langkah dan berturutan. Penyelesaian masalah lebih tertutup dan berulang-ulang yang banyak mencetuskan kekeliruan. Kesannya banyak aktiviti menjadi perlahan selain sangat bergantung kepada analisa satu persatu. IQ tidak berupaya membentuk akhlak, moral, rohani dan jasmani yang sebenar. Kecerdikan sememangnya wujud namun lebih banyak kesan-kesan seperti berdusta dan mencari helah.
Jika dilihat daripada sudut pendidikan, kebanyakan sistem pendidikan yang terdapat di dunia lebih menjurus kepada aliran pemikiran otak kiri. Para pelajar di seluruh dunia dilatih untuk membuat keputusan dan melakukan satu-satu tindakan berdasarkan logik, rasional dan yang mendapat pulangan material semata-mata. Ciri-ciri pemikiran otak kiri lebih ketara apabila pelajar memasuki gerbang universiti. Jika dikategorikan dalam ilmu teknik berfikir, gaya berfikir menggunakan otak kiri ini bolehlah dikelaskan sebagai gaya pemikiran vertikal. Gaya berfikir seperti ini sangat-sangat memerlukan sebab-sebab rasional dan logik; segala keputusan mesti berdasarkan sebab dan akibat, pengalaman-pengalaman yang lalu dan mesti mempunyai rujukan; setiap idea mesti berasaskan logik dahulu kemudian baru boleh dilaksanakan.

Jadi, bagaimana untuk menjadikan anak atau pelajar berfikir cara otak kanan? Pertama sekali perlulah diketahui anak berada di dalam level warna diri yang mana, iaitu sama ada Putih (Spiritual) dan Merah Jambu (Emosional) bagi cara pemikiran otak kanan, dan Hijau (Mental) dan Biru (Fizikal) bagi cara pemikiran otak kiri.

Apabila mengetahui warna diri, lebih lagi apabila mengetahui anak lebih cenderung kepada cara pemikiran otak kiri, maka anak dapat dilatih untuk berfikir cara otak kanan. Selain daripada itu, cara pembelajaran juga akan lebih mudah apabila merujuk kepada kekuatan cara pembelajaran bagi setiap warna level diri.


Gaya Berfikir/ Pembelajaran Mengikut Level Diri


1. Spiritual – Intuisi

Gaya berfikir intuisi adalah gaya berfikir yang berhubung dengan perkara-perkara peningkatan yang abstrak. Ia adalah proses pemindahan satu-satu sifat potensi daripada jiwa atau minda ke alam kenyataan dalam bentuk lompatan intelektual yang cepat tanpa memerlukan usaha yang keras, susah payah, dan pengajaran, sebaliknya ia menerusi deria batin atau boleh juga disebut sebagai keserasian hati, kehadiran rohaniah atau rasa hati secara langsung. Gaya berfikir intuisi tidak perlu kepada sebarang perantaraan/ medium atau sebab musabab. Intuisi wujud sebagai hasil pemikiran dalam jiwa sekaligus tanpa sengaja dan kemahuan sendiri.


Pada umumnya, kemampuan intuisi ini adalah adalah berbeza daripada seseorang ke seseorang. Intuisi ini boleh bertambah sehingga seseorang itu mampu bertindak secepat atau sependek waktu yang mungkin dan juga boleh berkurang malah boleh jadi sehingga tiada langsung. Perlu diketahui bahawa intuisi hanya akan timbul pada orang mempunyai fokus dalam pemikirannya. Salah satu cara untuk mendapatkan fokus ialah seseorang itu perlu menaruh minat yang amat mendalam terhadap apa yang difikirkannya atau dalam keriernya. Oleh kerana intuisi ini adalah pengetahuan yang langsung maka ianya adalah lebih meyakinkan bagi orang yang memiliki intuisi tersebut; malah ianya lebih meyakinkan daripada segala maklumat/ pengetahuan yang telah dimiliki oleh tuan tubuh tadi berkenaan dengan apa yang difikirkan.


2. Emosi – Ilham

Ilham adalah gaya berfikir yang berhubung dengan perkara-perkara aqliah yang mujarad, realiti dan ideal. Pada umumnya, ilham sangat berkait rapat dengan intuisi. Ilham adalah satu bentuk ‘tanggapan emosi’ secara langsung yang dapat diserupakan dengan tanggapan deria secara langsung terhadap benda-benda luar yang dapat dicerap oleh pancaindera. Ilham juga dapat diserupakan dengan tanggapan akal menerusi pemikiran dan pengambilan kesimpulan. Sebagaimana dengan intuisi, ilham juga dapat berpindah dengan cepat daripada tidak tahu menjadi tahu. Ilham juga boleh juga diertikan dengan ‘kasyaf’; iaitu satu bentuk tanggapan emosi secara langsung yang terbit di dalam hati manusia tanpa diketahuinya. Jika jiwa seseorang itu bersih dan nafsu dan perasaannya terkawal, kasyaf boleh berlaku pada diriya. Untuk seseorang itu mendapatkan ilham (kasyaf), pemikirannya hendaklah bebas daripada segala ikatan fakta yang diketahuinya; jika diulas daripada sudut ilmu tasawuf, deria batin hendaklah bebas daripada ikatan (tidak terpengaruh) deria zahir hinggalah sampai ke satu peringkat di mana deria zahir sudah menjadi tidak penting lagi.


3. Mental – Akal

Telah sedia maklum oleh semua orang bahawa akal adalah sejenis ‘alat’ yang miliki oleh manusia dalam membuat taakulan dan pertimbangan; natijah daripada itu, manusia akan membuat keputusan hasil daripada taakulan tadi. Walaupun tidak dinafikan lagi bahawa akal mempunyai fungsi yang sangat luas bagi manusia dalam membuat pertimbangan dalam hidup, namun ia terbatas terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlak, agama, dan perkara-perkara ghaib seperti ketuhanan, kenabian dan roh. Penggunaan akal mampu menyedarkan manusia daripada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan pada masa lampau. Akal juga mengajar manusia membuat kesimpulan yang tepat berdasarkan pengalaman lalu, yang memungkinkan manusia menilai pemikiran sendiri dan yang membezakan antara ilmu yang betul dengan khayalan kosong.


Oleh kerana inilah golongan yang mempunyai level mental sangat banyak melakukan proses pemikiran dan taakulan terutamanya dalam mencari kebenaran teradap sesuatu perkara. Tidak seperti golongan spiritual, mereka agak lambat membuat keputusan kerana terlalu banyak pertimbangan dan penelitian terhadap sesuatu perkara.


4. Fizikal – Deria

Mereka yang daripada golongan level fizikal lebih cenderung mempelajari daripada perkara-perkara yang dapat dicerap oleh deria mereka seperti deria mendengar, melihat, merasa, menghidu dan sebagainya. Oleh yang demikian, mempelajari daripada deria adalah sangat-sangat terhad kepada perkara-perkara yang telah sedia ada wujud, rasional dan praktikal. Tidak dinafikan lagi bahawa perkara-perkara yang melibatkan praktikal dan rasional sangat penting dipertimbangkan dalam melaksanakan satu-satu perkara. Mempelajari melalui deria tidak membawa kepada kreativiti tetapi lebih kepada melaksanakan perkara-perkara yang telah sedia wujud.

No comments:

Post a Comment